Friday, April 3, 2009

Dr Mahathir sertai semula Umno sebelum Isnin: Mukhriz

SUNGAI PETANI: Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menyertai semula Umno sebelum Isnin ini iaitu hari beliau dijadualkan berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.
Perkara ini disahkan anak beliau, Datuk Mukhriz Mahathir, kepada Berita Harian Online ketika ditemui semasa menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Bukit Topang berhampiran Bukit Selambau sebentar tadi. "Kita cuba aturkan pada petang Isnin ini...Tun akan turun ke Bukit Selambau selepas dua program di Bukit Gantang pada hari sama...InsyaAllah waktu itu dia akan mai (datang) sini sudah tentu sebagai ahli Umno dan berkempen untuk memenangkan calon BN," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, kesediaan Dr Mahathir untuk membantu kempen calon BN bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu adalah kerana keyakinan terhadap parti dan kerajaan berikutan peralihan kuasa pucuk kepimpinan. "Itu membuktikan beliau sendiri yakin dengan pucuk kepimpinan yang baru malah kita pun menanti-nantikan saat apabila beliau menghantar borang keahlian Umno dan menjadi ahli Umno kembali," katanya. Datuk Seri Najib Razak dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri esok.

Pagi tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bagi memaklumkan hasrat meletakkan jawatan Perdana Menteri dan memohon perkenan melantik Najib sebagai Perdana Menteri yang baru.
Sumber: BH Online (3 April 2009)

1 comment:

  1. Saya harap UMNO yang dianggap matang harus tolak permohonan Mahathir oleh kerana semasa UMNO gering dan menghendaki khidmat dan nasihat yang bernas daripada beliau, beliau telah tinggalkan UMNO atas kepentinggan sendiri. Beliau harus ingat kedudukan beliau sekarang adalah kerana UMNO kalau tidak beliau hanyalah seorang doktor mamak di Alor Setar dan beliau tinggalkan UMNO
    pada masa UMNO dalam kesusahan.

    ReplyDelete