Thursday, April 2, 2009

Pas tetap guna 2 isu dilarang

Dipetik dari: Utusan

TAIPING 1 April - Pas tetap menggunakan isu keputusan Sultan Perak memperkenan pelantikan Menteri Besar yang baru dan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai bahan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Asmuni Awi berkata, ini kerana syarat terbaru yang dikeluarkan oleh polis, melarang dua isu tersebut dibincangkan adalah bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

Beliau turut meminta penceramah pembangkang agar tidak berasa ragu untuk menyentuh kedua-dua isu itu selagi tidak melanggar batasan undang-undang.

"Dalam sebuah negara demokrasi, kita sepatutnya boleh membincangkan apa sahaja topik, untuk apa isu tersebut dihalang daripada dibincangkan?

"Jadi apa sahaja isu berkaitan dengan kepentingan rakyat kita akan sentuh dan saya nampak apabila syarat itu dikenakan sebenarnya polis mahu kita menghormati batasan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas larangan polis kepada parti-parti politik agar tidak menggunakan kedua-dua isu tersebut dalam siri ceramah pada kempen pilihan raya kecil berkenaan.

Asmuni yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas Bukit Gantang berkata, syarat itu boleh dicabar selagi semua penceramah Pas tidak melanggar batasan undang-undang.

"Setakat ini, kita tidak menerima surat mengenai larangan itu tetapi syarat yang diletakkan bagi kelulusan permit ceramah ada menyatakan dilarang menyentuh isu yang boleh menghasut," katanya.

Jelas beliau, Pas tidak mempertikaikan keputusan Sultan Perak sebaliknya mempersoalkannya daripada sudut perundangan.

"Isu Altantuya pula kita mahu tahu mengapa tindakan saman tidak diambil ke atas sebuah akhbar Perancis, memanggil duta negara itu atau meminta Kementerian Luar mengeluarkan nota bantahan.

"Sekiranya berita yang dilaporkan akhbar asing itu tidak benar, ini satu penghinaan kepada pemimpin negara dan Malaysia sendiri," katanya.

Beliau menganggap larangan terbaru itu adalah untuk kepentingan individu tertentu dan jentera kempen Barisan Nasional (BN) yang mempunyai masalah untuk menjawab kedua-dua isu itu.

No comments:

Post a Comment