Friday, April 3, 2009

Utara: Jaip larang ceramah politik di masjid

IPOH: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor semalam mengingatkan ahli politik tidak menggunakan masjid dan surau untuk memberi ceramah politik.
Katanya, amalan ini amat bertentangan dengan status dan kedudukan masjid dan surau yang mulia sebagai rumah Allah. Amalan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam sendiri, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ia juga menyalahi Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 dan Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid 1998. Beliau berkata, sekiranya tidak ditegah ia akan mendatangkan akibat buruk dan boleh menjejas umat dan agama Islam itu sendiri. Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bukan Pegawai Masjid adalah tidak dibenar menyampaikan khutbah Jumaat, ceramah atau mengajar agama di masjid atau surau.

Di samping itu, pegawai masjid hendaklah juga menyampaikan khutbah yang telah disediakan teksnya oleh Jaip, katanya. "Mana-mana pihak yang melanggar arahan ini adalah melakukan kesalahan mengikut Kaedah-kaedah Pegawai Masjid 1998 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004," katanya.
Sumber: BH Online (3 April 2009)

No comments:

Post a Comment