Monday, May 25, 2009

BLOGGER PARTI KOMUNIS MALAYA (PKM) CUBA RAIH SIMPATI....AWAS

OLEH : PEMIKIR - MM


Anak-anak muda Malaysia kini dengan bebasnya terdedah kepada internet dan media baru akibat ledakan ICT. Ini merupakan suatu hakikat dalam era pemodenan komunikasi. Sebenarnya ledakan ini bukan perkara baru tetapi telah diasaskan oleh kuasa-kuasa besar Rusia dan Amerika Syarikat sejak Perang Dingin lagi atau Cold War.

Di Malaysia perang menentang aspirasi komunis internasional atau comintern yang diinspirasikan oleh Moscow untuk mendominasi dunia dengan pelbagai cara, terpaksa berdepan dengan satu pasukan pengganas yang dipanggil Parti Komunis Malaya (PKM). Anggota-anggota komunis ini yang terdiri daripada beberapa rejimen bersenjata telah menjadikan kawasan Selatan Thailand, terutamanya di sempadan Siam-Kelantan/ Perak/ Kedah tempat melancarkan gerakan-gerakan menentang tentera dan polis Malaysia. PKM ini juga mempunyai segelintir ahli-ahli kaum Melayu dan India, tetapi majoritinya adalah dari kaum Cina yang diketuai oleh Chin Peng yang masih hidup dan bermastautin dengan mewahnya di satu perkampungan yang diwujudkan khas oleh Bangkok selepas perjanjian dengan Kuala Lumpur.Kini Chin Peng mencari jalan untuk kembali semula ke Malaysia dengan alasan-alasan beliau adalah rakyat Malaysia dan juga sokongan oleh ahli Gerakan.

PKM yang secara senyap mendapat sokongan moral dan material dari Beijing pada mulanya, bergiat dengan ganasnya sehingga membunuh 3000 ahli pasukan keselamatan Malaysia. Tindakan Chin Peng untuk balik semula ke Malaysia menghadapi protes besar dari persatuan-persatuan veteran polis dan askar. Orang-orang awam pun terutamanya kaum Melayu turut tidak bersetuju dengan niat Chin Peng. Mereka tidak mudah lupa dengan keganasan-keganasan pada penghujung 1940 an yang melibatkan kerakusan berleluasa ahli-ahli bintang 3 membunuh orang-orang awam termasuklah di Johor utara seperti Segamat, Muar dan Kluang.

Kebelakangan ini anak-anak muda melayari blog-blog bekas ahli-ahli PKM dan mereka mulai tertarik apa yang diwar-warkan. Orang-orang muda ini yang tidak mahu ambil tahu tentang keganasan-keganasan yang di buat oleh PKM, sanggup mengatakan bahawa revolusi itu perlu untuk bawa perubahan. Anak-anak muda ini cuba merasionalkan bahawa apa yang berlaku pada 1940 an dahulu dilihat dalam perspektif positif.

Pemerhati berpendapat bahawa trend ini tidak boleh dielakkan. Sebagai negara yang mempelopori kebebasan bersuara maka pendedahan kepada maklumat yang berat sebelah turut ditelan pelayar-pelayar internet. Mereka membuat komen ikut naluri dan tanpa usul periksa. Penulis seperti Fahmi Reza merupakan suatu contoh warga Malaysia yang patut diberi peluang meneliti keganasan dan kerakusan PKM supaya rakyat muda faham tentang pengorbanan yang telah dilakukan oleh rakyat Malaysia dan pasukan keselamatan di bantu oleh tentera-tentera Komanwel termasuk Fiji, Nepal, Australia, New Zealand, United Kingdom, India menentang PKM.

No comments:

Post a Comment