Friday, March 27, 2009

MELAYU BUKAN UMNO LAGI, MELAYU SUDAH MINORITI

Zaini Hassan telah mengkategorikan orang Melayu kepada 6 pecahan golongan. Beliau telah mengklasfikasikan bangsa Melayu yang dulunya kaum majoriti tetapi kini sudah menjadi minoriti seperti berikut;
  1. GOLONGAN MELAYU LIBERAL - Mereka ini sudah hilang "semangat dan roh" (the spirit and soul) orang Melayu. Orang Melayu aliran itu sudah pudar ciri-ciri kemelayuan yang ditanam oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak peduli siapa yang menerajui pemerintahan, asalkan ia sama rata. Golongan terpelajar hasil kelahiran DEB ini makin bercambah. Mereka ini menganggap bukan DEB itu yang menjayakan diri mereka - menghantar mereka belajar ke luar negara, tapi sifat merit yang ada pada diri mereka sendiri. Mereka ini ada yang berada dalam kerajaan, golongan pelajar di universiti, tokoh-tokoh korporat, profesional dan berada di mana-mana sahaja.
  2. GOLONGAN MELAYU ULAMA - (yang menolak semangat ke-Bangsa-an). Mereka menolak UMNO. Kata mereka UMNO itu tidak berlandaskan Islam, sebagaimana yang ditakrifkan oleh PAS aliran Nik Aziz. Aliran antiassabiyah Nik Aziz memang jelas dari dulu lagi, iaitu jika UMNO mahu bersatu dengan PAS, UMNO perlu ikut cara PAS. UMNO perlu nyahkan semangat kebangsaanya. Bagi Nik Aziz kebangsaan UMNO adalah mengenai Melayu dan ia bukan Islam. Aliran Nik Aziz hanya membenarkan Islam semata-mata, tidak termasuk Melayu. Bagaimanapun, mutahir ini, aliran Nik Aziz nampaknya bertentangan pula dengan aliran hadi. Hadi dikatakan mahu bekerjasama dengan UMNO demi Melayu. Nik aziz memberi amaran dia ialah nakhoda dan Hadi perlu dengar cakapnya. Golongan aliran ini semakin banyak, dan ia terdiri daripada golongan muda.
  3. GOLONGAN MELAYU PKR (yang menolak UMNO kerana ia menolak master mereka anwar Ibrahim). Asalnya orang Melayu PKR adalah bekas orang UMNO. Kita tidak pasti sampai bila Melayu PKR ini akan terus wujud, tapi melalui perincian, golongan Melayu ini tidak akan kekal lama. Namun, lama tak lama, itu tidak penting - tapi yang penting ialah sejauh mana ia boleh memecahbelahkan lagi orang Melayu. Aliran mereka ialah kesamarataan - sama dengan golongan loberal. Sudah tentu konsep sama rata mereka berbeza dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN sejak lebih 50 tahun lalu. PKR bukan parti asas Melayu seperti UMNO atau PAS, ia adalah parti pelbagai kaum. Namun ramai orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar) terkeliru menganggap PKR sebagai parti Melayu seperti UMNO dan PAS. Hakikatnya, di peringkat payung pakatan pembangkang. PKR dikuasai oleh bukan Melayu. Orang bukan Melayu melihat parti ini sebagai parti alternatif kepada mereka yang menolak MCA, MIC mahupun DAP.
  4. GOLONGAN MELAYU DAP - Adalah segelintir. Tapi sejarah dan rekod menunjukkan mereka tidak boleh ke mana-mana.
  5. GOLONGAN MELAYU ATAS PAGAR - Golongan ini cukup-cukup terkeliru. Kerana kekeliruan yang mereka hadapi - mereka tidak peduli. mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada bangsa mereka, asalnya mereka boleh hidup seperti biasa. Golongan yang bersifat individualistik ini bagaimanapun amat bijak memerhati, tanpa banyak bercakap. Perkataan yang sering penulis dengar daripada golongan jenis ini ialah "Aku Sudah Muak". Golongan ini boleh mengambil langkah berkecuali, tidak peduli atau pun memihak kepada pembangkang secara protes. Perlu diingat, dalam sesuatu pilihan raya, golongan ini adalah penentu kepada kemenangan. Bagaimanapun golongan ini boleh memasuki ke mana-mana aliran di atas jika tidak dirawati penyakit keliru mereka.
  6. GOLONGAN MELAYU UMNO - Golongan ini sekarang bukan seperti datuk nenek mereka yang berjuang pada awal, pertengahan sejak penubuhannya 63 tahun lalu. Golongan pejuang UMNO dulu adalah aktivis yang jati diri mereka cukup hebat. Mereka tidak mewah, mereka tidak gelojoh, mereka tidak tamak, tidak seperti generasi UMNO sekarang. Namun perkhidmatan mereka kepada UMNO, masyarakat, orang Melayu di kampung-kampung cukup berkesan. Orang Melayu, Cina dan India pada masa itu dapat disatukan - satu suara, satu hati. Semangat dan roh Melayu Islam terserlah di mana-mana. Hari ini (pada hari perhimpunan UMNO ke-59 ini) sikap negatif UMNO banyak diperkatakan. Kebanyakannya ialah berkisar kepada isu yang tidak mahu didengari oleh aktivis terdahulu.

Sumber : Zaini Hassan - Utusan Malaysia 25 Mac 2009

1 comment:

  1. golongan umno skrg bnyk psl rasuah kn. hmm. kesian kt pjuang2 umno trdahulu. pjuangan diorg mcm dh sia2 dgn adnya sgelintir yg mncmrkn nme parti. mudah2an semua yg berasuah tu insaf supaya skongan akan kmbali.

    ReplyDelete