Tuesday, March 31, 2009

Pas tutup mulut calonnya

Dipetik dari Utusan

TAIPING 30 Mac - Pas menggunakan strategi 'menutup mulut' calonnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada memberikan sebarang sidang akhbar atau bercakap kepada pemberita sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Sebaliknya, sidang akhbar harian sepanjang kempen pilihan raya kecil P59 akan dikendalikan sepenuhnya oleh Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali.

''Kami tidak halang anda mengikuti aktiviti kempen Mohammad Nizar, sampai pukul 12 tengah malam pun boleh kalau anda sanggup.

''Tetapi calon tidak akan bercakap kepada media atau memberikan apa-apa ulasan. Malah beliau juga tidak akan hadir pada sidang media harian yang diadakan oleh jentera Pas," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pas di Air Kuning di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Asmuni Awi yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang.

Persoalan tentang kesukaran untuk mendapatkan ulasan daripada Mohammad Nizar dibangkit oleh para wartawan termasuk di kalangan media alternatif.

Keadaan itu menyebabkan Mohammad Nizar dilihat tidak mesra media berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian.

Ismail sedia ditemu bual atau memberikan ulasan pada setiap majlis kempen atau lawatan bertemu pengundi yang dihadirinya.

Menurut Mustafa, jentera Pas mengambil langkah tersebut kerana Mohammad Nizar mempunyai agenda kempen yang padat selain sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

''Semuanya bergantung kepada jentera, jadual kempen beliau terlalu padat, biasanya kalau bercakap kepada media, ia akan mengambil masa.

''Ini dibimbangi menyebabkan kelewatan untuk bergegas ke kawasan lain, jadi kita cuba meminimumkan masalah yang boleh menjejaskan peluang kita masuk berjumpa dengan akar umbi," jelas beliau.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, Pas bersikap terbuka kepada semua media dan tidak akan melakukan sebarang halangan terhadap akhbar, Utusan Malaysia.

''Kita tidak halang dan saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar media arus perdana diboikot, itu sekadar pandangan peribadinya," katanya.
Sementara itu, Mustafa yang juga Pengerusi Harakah berkata, pihaknya akan membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menarik balik tindakan menggantung permit penerbitan Harakah selama tiga bulan.

''Saya sudah arahkan pengurusan Harakah agar menghantar surat rayuan kepada KDN," katanya.

Katanya, bagi menggantikan Harakah, Pas akan menerbitkan akhbar Hujah dan Buletin Bukit sebagai saluran penyampaian maklumat kepada masyarakat pada pilihan raya kecil itu.

''Kami tidak terjejas dengan kekurangan berita yang dipapar dalam media arus perdana, kita tahu ia lebih banyak memberikan liputan kepada BN," ujurnya.

No comments:

Post a Comment