Monday, March 30, 2009

Tiga rebut Bukit Gantang

Petikan : UTUSAN online

TAIPING 29 Mac – Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas dengan Bebas.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan itu, Datuk Mahmod Morsidi pada pukul 11.20 pagi selepas pihaknya tidak menerima bantahan yang dikemukakan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Perbandaran Taiping di sini.

Calon BN, Ismail Saffian, 48, akan ditentang oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dan calon Bebas yang akan menggunakan lambang payung iaitu, Kamarul Ramizu Idris, 43.

Menurut Mahmod, pendaftaran pencalonan pertama dibuat oleh Mohammad Nizar pada pukul 9.06 pagi diikuti pendaftaran Ismail pada pukul 9.20 pagi manakala Kamarul Ramizu pada pukul 9.35 pagi.

Pencalonan Ismail dicadangkan oleh Kamarullail Sulaiman dan disokong Loh Swee Eng manakala Mohammad Nizar dicadangkan Rahim Ismail dan disokong Hassan Salleh.Pencadang Kamarul Ramizu pula ialah Adnan Abd. Ghani dan disokong Yahaya Rosli.

Pemilihan ketiga-tiga calon berkenaan sebagai wakil rakyat dan Ahli Parlimen Bukit Gantang akan ditentukan oleh pengundi pada 7 April ini.

Sementara itu, kira-kira 10,000 penyokong termasuk pemimpin BN dan Pas berkumpul sejak pukul 6.30 pagi lagi bagi memberi sokongan moral kepada calon masing-masing.
Antara pemimpin tertinggi BN yang mengiringi Ismail ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut serta ialah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa menteri besar lain.

Dua bekas Naib Presiden UMNO iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut mengiringi Ismail.

Pemimpin pembangkang yang hadir pula ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng serta bapanya, Lim Kit Siang.

No comments:

Post a Comment