1. Sejak kebelakangan ini, ramai ahli UMNO yang tidak puas hati dengan keputusan pemilihan dalam jawatan Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dengan mengambil tindakan keluar dari UMNO. Biarkanlah mereka kerana setiap orang mempunyai pertimbangan sendiri dan keputusan itu adalah hak individu. Untuk saya memperkatakan hal orang lain, tidaklah manis dan layak rasanya.Apakah pendirian saya?
2. Walaupun ada nama yang tidak selari dengan pendirian saya tetapi tetap terpilih sebagai pemimpin dalam barisan kepimpinan UMNO, namun saya masih tetap sebagai ahli UMNO.
3. Walaupun suatu hari nanti UMNO akan ditalkinkan seperti mana dikatakan oleh rakan dalam parti pembangkang, saya tetap akan bersama UMNO dan tidak sekali-kali akan mendaftarkan diri dengan parti PAS, PKR dan mana-mana parti lain.Mengapa saya berpendirian begitu?
4. Saya adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Kehidupan saya sekeluarga adalah sederhana yang mengamalkan ajaran Islam sebagai asas kehidupan seharian.
5. Kedua ibubapa juga adalah penyokong UMNO walaupun mereka tidak pernah menjadi ahli UMNO yang sah. Mereka mengajarkan saya sejak kecil lagi supaya tidak mengambil hak orang lain, menghormati orang lain baik dari segi pandangan, pegangan keagamaan atau politik. Pendek kata jangan kita menyusahkan hidup orang dan kalau mampu memberi bantuan, maka hulurkanlah bantuan seikhlas mungkin. Ajaran mereka ini dibawa sehingga saya menjadi apa yang saya ada sekarang.
6. Semasa saya remaja dan jiwa saya menuntut supaya mendekati diri dengan Allah, saya terpengaruh untuk mengikut ceramah agama dari ustaz-ustaz yang ada pada masa itu, tetapi kebanyakan isi ceramah yang dibawa hanya menyentuh tentang keburukan orang lain, kesalahan dan tuduhan terhadap pihak tertentu.Adakah ini ceramah agama yang saya cari?
7. Setelah diperiksa barulah saya ketahui bahawa ceramah yang saya hadiri dan dengar melalui keset itu adalah ceramah agama dari kepimpinan PAS termasuk Haji Hadi.
8. Dibandingkan dengan ajaran ibubapa saya yang diterapkan sejak kecil seperti di atas menyebabkan saya menjauhkan diri dari unsur seperti yang di bawa oleh ceramah PAS kerana berlawanan dengan jiwa saya.
9. Sejak dari mula penubuhan PAS sehinggalah sekarang, isi ceramahnya meliputi kesalahan orang lain dan memburukkan pemimpin yang tidak mengikut keadah Islam cara mereka. Mereka menyalahkan orang yang tidak berpakaian Islam ala PAS dan jiwa orang UMNO dikatakan mengikut orang sekular. Ini menyebabkan saya sukar menerima perjuangan PAS yang bertopengkan Islam untuk mencapai cita-cita politik mereka.
10. Bagi saya, saya berpegang teguh kepada ajaran Rasullullah iaitu kasih mengasihani antara makhluk dan menghormati antara satu sama lain. Walaupun kita berlainan fahaman politik, tapi masih ada ruang yang boleh kita usahakan untuk perpaduan bangsa dan agama.
11. Tonggak ini tiada dalam PAS. Bagi pemimpin PAS, mereka meracuni pemikiran pengikut PAS bahawa mana-mana orang yang tiduk tunduk dan mematuhi Islam ala PAS maka mereka bukan dalam golongan yang dirahmati Allah.
12. Insiden mengafirkan orang Islam UMNO, sembahyang dua Imam, tidak memakan sembelihan orang UMNO menambahkan lagi kesangsian saya terhadap perjuangan Islam ala PAS ini.
13. Dahulunya PAS mengatakan bahawa kita berjuang atas tiang Islam dan tidak akan berkerjasama dengan golongan bukan Islam sepertimana yang dilakukan oleh UMNO dengan MCA dan MIC. Tapi kini, mereka adalah pelakon yang meludah di atas langit dengan mengadakan Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR yang mana perjuangan dan pegangan mereka ini terang-terang tidak berlandaskan Islam sejati.
14. Perkembangan di sekeliling sejak dahulu hingga sekarang juga membuat saya takut kepada perjuangan PAS samada mereka ini adalah pengamal agama Islam yang mengikuti sunah Rasullullah dan al Quran?
15. Bayangkanlah bagaimana hukumnya jikakalau dalam rumah penyokong PAS digantung gambar pemimpin mereka dan mewarnakan batu nesan dengan warna PAS iaitu hijau.
16. Atas dasar apakah kita mengantungkan gambar pemimpin PAS dalam rumah kalau bukan untuk dihormati dan apa akan berlaku kalau ada orang yang mengoyakkannya? Adakah mereka ini akan marah atau membunuh orang yang mengoyak gambar itu?
17. Penyokong PAS juga tidak mahu bersama kariah UMNO untuk bersama-sama berjemaah dalam saf yang sama sujud menyembah Allah. Pemimpin mereka mengatakan bahawa tidak sah sembahyang di belakang Imam orang UMNO?Apakah pegangan mereka ini benar?
18. Begitulah antara sebab mengapa saya kurang meminati perjuangan Pas dan rela menjadi seorang rakyat yang hanya mendiamkan diri daripada terlibat dalam dakyah politik PAS yang menggunakan Islam sebagai alat memancing undi dalam pilihan raya.
Bagaimana dengan PKR?
19. Kalau PAS yang memperjuangan Islam ala PAS tidak menarik perhatian saya, inikan pula parti rojak mee.
20. PKR adalah pecahan dari UMNO dan kelainannya adalah memberi keahliannya kepada orang bukan Melayu. Kononnya ingin memperjuangkan politik pelbagai kaum.
21. Sebagai Melayu dan beragama Islam, tidak dapat tidak saya tetap mengutamakan perjuangan bangsa dan agama saya terlebih dahulu sebelum orang lain. Dalam masa yang sama saya akan menghormati mereka ini selagi mereka menghormati hak saya. Itu sangat jelas.
22. Demikianlah pandanga peribadi saya.
Salam