Sunday, April 5, 2009

BN mampu menang ketiga-tiga kerusi

KUCHING 4 April - Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Air pada 7 April ini.

Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi ketiga-tiga kawasan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keyakinan itu berdasarkan tinjauan beliau di kawasan terbabit. Menurutnya, di Batang Air sendiri, pengundi-pengundi menyedari hanya BN mampu memenuhi harapan mereka untuk membawa pembangunan dan pembaharuan kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Katanya, pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam memberi keyakinan kepada rakyat terutama di tiga kawasan berkenaan bahawa Najib mampu membawa perubahan dan akan membawa kemajuan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Malah, tambahnya, beliau juga melihat perubahan ketara terutama sikap pengundi yang di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kepada BN berikutan perubahan yang berlaku dalam parti baru-baru ini.

"Kekuatan sokongan itu ditambah dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyertai semula UMNO iaitu perkara yang dinanti-nantikan rakyat terutamanya pengundi Melayu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita di hangar Hornbill Skyways di sini selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Liam, Ulu Sungai Engkari dekat Lubok Antu.
Pada majlis berkenaan, Muhyiddin mengumumkan peruntukan kerajaan Pusat berjumlah RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak khusus untuk pembinaan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, pengundi-pengundi Batang Air perlu menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tiada keupayaan membawa pembangunan kepada masyarakat di situ. Beliau berkata, PKR juga bukan parti yang berasal dari Sarawak yang tidak mampu membawa perubahan kepada nasib rakyat di situ.

"Malah calonnya merupakan orang lama jika dibandingkan dengan calon BN yang lebih muda, berkelulusan tinggi malah beliau (Malcolm Mussen) juga mesra terhadap rakyat Batang Air," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (5 April 2009)
*************************************
Adora:
Perubahan dalam tampuk kepimpinan negara di mana YAB Dato' Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dilihat dapat menarik lebih banyak sokongan kepada BN. Rakyat yakin bahawa Dato' Sri Mohd Najib berupaya memacu negara ke arah kejayaan yang lebih cemerlang. Sifat kepimpinan dan dedikasi beliau turut disenangi oleh kaum bukan Melayu.
Di samping itu penyertaan semula mantan Perdana Menteri Ke-4, Tun Dr. Mahathir akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap BN. Rakyat terutamanya kaum Melayu begitu teruja dan berbesar hati dengan keputusan Tun ini. Rakyat semakin bertambah yakin bahawa BN/UMNO akan mengembalikan zaman kegemilangannya seperti dahulu.
Kehadiran Tun Dr. Mahathir untuk bersama-sama turun padang berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menyemarakkan lagi semangat pengundi-pengundi BN dan orang Melayu.
Situasi ini semakin menguatkan keyakinan bahawa BN akan memenangi kesemua kerusi pada pilihan raya kecil ini iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

3 comments:

  1. sokong najib = sokong rasuah

    ReplyDelete
  2. angan2 baik, menang belum tentu! sokong kerajaan rasuah bermakna anda subahah. bermakna anda juga suka rasuah. fikirlah! siapa yang perlu disokong.

    ReplyDelete
  3. UMNO/BN kalau nak menang pun bukan dengan cara gentlemen. Mesti ada cara yang tak betul...tapi kalau tengok keadaan sekarang ini, kemenangan berpihak kepada PR

    ReplyDelete