Monday, April 6, 2009

Kempen Kian Hangat

Polis beri jaminan keselamatan di tiga kawasan pilihan raya kecil

BUKIT GANTANG: Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Air, Sarawak bertambah sengit apabila parti yang bertanding berkempen habis-habisan termasuk mengatur strategi terakhir menjelang hari pengundian, esok. Beberapa kekecohan juga dilaporkan berlaku semalam hingga menghangatkan suasana, tetapi polis memberi jaminan keselamatan di tiga kawasan pilihan raya kecil itu terjamin tanpa sebarang insiden serius yang boleh menjejaskan proses demokrasi.
Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) mula memasang pemidang dan banting baru yang membawa slogan `Kepimpinan berwibawa, rakyat terbela' serta `Pembaharuan untuk kebaikan' - tambahan terhadap slogan sedia ada, iaitu `Mohon Restu Rakyat' serta 'Satu Impian, Satu Malaysia, Pilih BN'. Tinjauan Berita Harian mendapati pemidang itu turut menampilkan gandingan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta calon BN, Ismail Saffian. Pas pula menambah bendera dan pemidang lambang parti itu di beberapa tempat strategik dengan menggunakan slogan `Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat.'

Di SEPANG, Najib yang diminta mengulas hari terakhir berkempen menjelang pengundian esok berkata, BN akan memastikan semua janji yang dibuat kepada penduduk di tiga kawasan berkenaan, ditunaikan dan disempurnakan. "Apa yang kita tak nak ialah projek yang bersifat mi segera. Kalau projek itu betul-betul memberi manfaat kepada rakyat dan kita dah buat janji atau komitmen pada pilihan raya, maka kita tetap akan laksanakan. "Lebih daripada itu kejayaan dan kemenangan kita itu akan beri satu rangsangan yang amat bermakna kepada kerajaan dalam menangani segala-gala cabaran dari segi politik dan ekonomi," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Sementara itu, Timbalan Presiden Umno yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui fasa terakhir kempen hari ini adalah saat kritikal dan genting.

"Kita menggandakan gerakan... bukan saja kempen dan operasi biasa tetapi jentera kita diperkukuhkan lagi. Kita harap mereka bekerja hingga selesai menemui semua pengundi dan memberi penjelasan beberapa perkara berbangkit yang memerlukan penjelasan," katanya selepas ceramah di Sekolah Kebangsaan Simpang di sini. Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Kecil Pas, Asmuni Awi, berkata Pas memberi tumpuan terhadap kumpulan tertentu termasuk golongan tua yang dikenal pasti boleh mempengaruhi pengundi lain dalam kempen terakhirnya sebelum hari pengundian esok. "Mereka ada pengikutnya tersendiri dan perlu diyakinkan untuk menyokong Pas. Selain itu, kita akan berjumpa pengundi yang sedang sakit dan memerlukan bantuan," katanya.
Di SUNGAI PETANI, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata semua jentera BN diarah membuat persiapan menyambut ketibaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan ke Bukit Selambau, hari ini. Dr Mahathir yang ditemui selepas perlumbaan F1 di Sepang, berkata beliau akan ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan berharap dapat memujuk pengundi menyokong BN. Mengenai kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau bukan faktor yang menakutkan, Dr Mahathir berkata: "Tidak juga... saya dengar mereka menyediakan telur busuk untuk baling saya. Tak apalah, kulit saya lebih tebal daripada Anwar."
Di LUBOK ANTU, calon BN di DUN Batang Air, Malcom Mussen Lamoh, berkata fasa terakhir kempen difokuskan di kawasan yang boleh dihubungi dengan jalan darat, terutama di Lubok Antu. Timbalan Pengarah Operasi BN bagi pilihan raya kecil berkenaan, Gerang Jubin, pula berkata pihaknya mempunyai beberapa strategi terakhir bagi menghadapi calon PKR, Jawah Gerang. PKR pula menyusun strategi untuk menggempur kubu kuat BN di Sebangki, Lubok Antu, Skarok, Kaong, Bertik dan Ensawang. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan dari PKR, Dominique Ng, berkata setakat semalam semua kawasan di DUN Batang Air sudah dilawati jentera PKR, kecuali Batu Bebini dan Tinting Lelang yang akan digempur hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia
******************************
TULIP:
Hari ini merupakan hari terakhir untuk parti yang bertanding berkempen. Parti yang bertanding di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air dilihat berkempen habis-habisan dan mengatur strategi terakhir untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka. Tulip mengharapkan hari pengundian pada 7 April berjalan dengan lancar dan tiada berlaku kekecohan. Polis akan memastikan keselamatan para pengundi terjamin. Selamat Mengundi.

No comments:

Post a Comment