Sunday, April 5, 2009

Soal Jawab:Angin perubahan ketara di tiga kawasan

Reaksi pengundi Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Air positif: Muhyiddin
Bagaimana pandangan Tan Sri kali pertama mengetuai jentera pilihan raya BN? Memang saya rasa itu tanggungjawab berat dan saya berusaha seberapa yang boleh untuk melaksanakannya dan cabaran pertama ialah pilihan raya kecil itu diadakan serentak di tiga kawasan. Kedua, ia berlaku sejurus selepas selesai Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dan hari ini (Jumaat) terbentuklah kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak. Jadi, bermakna tugasan yang diterima berlaku di dalam keadaan ketika kita sedang menghadapi banyak peristiwa bersejarah. Walaupun begitu, daripada apa yang saya lihat sepanjang tempoh berada di sana (Bukit Gantang dan Bukit Selambau), kita mempunyai harapan untuk menang. Saya percaya rakyat mengharapkan sesuatu dan yakin BN akan membawa perubahan yang mereka harapkan.

Bagaimana harapan calon BN untuk menang kali ini?
Pengumuman calon dibuat lebih awal dan persediaan pada peringkat kawasan juga bermula awal sebaik saja dimaklumkan akan ada pilihan raya kecil. Kita memang sudah bersedia, jadi, atas dasar itulah jentera BN mula bergerak dalam keadaan agak baik. Pelbagai isu termasuk soal calon yang dipilih BN tidak pernah berbangkit kerana ia adalah persetujuan dan persefahaman yang dicapai dalam BN ketika menentukan soal calon. Jentera kita akan dipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi. Berdasarkan gerakan kerja yang telah kita laksanakan setakat ini termasuk kerjasama dan sokongan padu parti komponen BN, kita berharap dapat memperhebatkan lagi usaha dalam tempoh beberapa hari lagi... insya-Allah.
BN menghadapi saingan sengit di Bukit Gantang termasuk kempen pembangkang yang membangkitkan isu pertukaran kerajaan baru di Perak dan soal menderhaka kepada Sultan serta faktor calon Pas iaitu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bertanding di situ. Adakah ini menjejaskan sokongan kepada BN?
Memang banyak kawasan sengit di Bukit Gantang, tetapi saya tetap yakin kerana pertamanya ialah sudah berlaku perubahan sikap yang agak ketara di kalangan pengundi Melayu. Saya melihat wujudnya sikap yang agak positif di kalangan mereka berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Mereka berpuas hati dengan calon yang ada iaitu calon tempatan. Keduanya, mereka melihat perubahan dari aspek politik di Perak dan ini amat memberangsangkan. Isu lain sebenarnya tidak berbangkit. Di samping itu, bagi mendapatkan sokongan masyarakat Tionghua, kita menggerakkan program menemui seberapa ramai yang mungkin, memperjelaskan isu soal kerajaan Perak, memperjelaskan isu pelantikan Menteri Besar yang agaknya memang menjadi tumpuan mereka. Bagi pengundi India, saya lihat sudah ada satu trend perubahan yang lebih positif kerana kita sudah mula menguruskan hal yang menjadi perhatian mereka di situ. Nampaknya mereka sudah mula faham dan sebenarnya, senario pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri dan barisan saf Kabinet yang akan diumumkan nanti adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu semua pihak.

Semua angin perubahan ini sudah bertiup di sana, jadi kita bawa mesej bahawa pasukan baru, saf baru yang akan kita bentuk nanti di bawah pimpinan Perdana Menteri baru ini insya-Allah akan membawa harapan baru. Ini suatu situasi mood yang begitu memberangsangkan dan mendapat sokongan daripada penyokong di sana dan juga kawasan lain di seluruh negara.
Di Bukit Selambau, Kedah, ada 15 calon bertanding sekali gus mencatat sejarah baru politik negara. Bagaimana Tan Sri melihat senario ini, adakah ia lebih kepada sekadar mencuba nasib atau kurangnya keyakinan rakyat terhadap mana-mana parti?
Soal berapa ramai calon bertanding tak jadi masalah bagi BN. Bagi kita, berapa ramai yang bertanding, itu soal mereka tetapi saya sudah pergi ke sana dan turun ke padang, jumpa pengundi untuk menjelaskan asas perjuangan BN. Calon yang kita letak dianggap baik dan diterima ramai walaupun ada ramai calon Bebas. Bagi saya, mereka (calon Bebas) itu sebenarnya tidak memberi kesan yang cukup besar dalam menentukan keputusan. Tetapi mustahak bagi kita meyakinkan pengundi Cina mengenai pelbagai isu yang kita sedang hadapi. Bagi pengundi India, sudah ada petanda positif berbanding sebelumnya. Walaupun begitu, kita perlu bekerja lebih keras di Bukit Selambau kerana dalam beberapa hari ini, kita mesti mengatur strategi lebih berkesan untuk menarik sokongan lebih ramai pengundi di situ. Pendekatan berkesan pada saat akhir kempen juga boleh menjadi faktor penentu.
Sesetengah pihak mendakwa, antara 15 calon bertanding di DUN Bukit Selambau, ada antaranya yang ditaja BN walaupun ada calon Bebas menafikannya. Adakah ini juga strategi pembangkang memburukkan lagi imej BN?
Itu saya tak tahu. Saya tak fikir begitu kerana bagi saya, berdasarkan maklumat yang saya tahu, kita hanya letakkan seorang calon saja iaitu calon rasmi, Datuk S Ganesan daripada MIC. Tuduhan itu menunjukkan wujud suatu keadaan yang sudah terdesak... ini politik desperado. Mereka (pembangkang) macam tak ada modal lain. Sepatutnya mereka ambil pendekatan yang lebih bermoral, kempen secara berhemah, bukannya membuat tuduhan tidak berasas. Sama seperti kes di Bukit Gantang, mereka mengeluarkan surat layang, menyebarkan fitnah, memalsukan surat rasmi Umno. Itu termasuklah tindakan yang Nizar sendiri lakukan, contohnya beliau sendiri menunjukkan perbuatan yang langsung tidak menghormati majlis, majlis kematian dan majlis bacaan Yassin. Jadi, apa yang mereka (pembangkang) laungkan sebagai Islam adalah sebenarnya tidak terserlah. Ini sebenarnya memberikan satu gambaran yang buruk mengenai calon pembangkang. Situasi di Bukit Selambau, saya dapati keadaannya baik dan di Batang Air pula senario di situ lebih menggalakkan. Petandanya sudah jelas, pengundi di sana lebih yakin terhadap BN berbanding pembangkang yang sanggup melakukan apa saja untuk memenangi hati pengundi.
Pilihan raya di DUN Batang Air, Sarawak membabitkan pertembungan antara wakil BN, Malcom Mussen Lamoh menentang bekas pemimpin BN, Jawah Gerang yang kini bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). Komen Tan Sri?
Ya, itu (Jawah Gerang) pemimpin yang sudah 'diguna semula' sebanyak lima kali, selepas itu dia masuk semula ke dalam BN. Ketika menjadi wakil rakyat pun, dia sebenarnya tak banyak kerja. Jadi, kita yakin calon muda (Malcom Mussen Lamoh) yang kita letakkan itu lebih terserlah, berwibawa dan nampaknya beliau diterima baik di sana.
Kita lebih yakin kerana isu di sana sebenarnya banyak berkisar kepada kehendak rakyat membabitkan soal pembangunan, isu rumah panjang, isu kemudahan asas, isu jalan raya, kesusahan hidup dan masalah kemiskinan kerana Batang Air terletak di kawasan luar bandar. Kawasan itu jauh di pedalaman, memerlukan pelbagai kemudahan yang sepatutnya mereka nikmati sama seperti kemudahan di tempat lain.
Apa mereka (pengundi) tahu dan yakin hanya kerajaan pimpinan BN boleh menunaikan kehendak mereka dalam merealisasikan hasrat dan impian untuk menikmati kemudahan lebih baik. Saya akan ke sana dan mengisytiharkan beberapa peruntukan yang kita sediakan, semuanya untuk menambah kemudahan dan keperluan di situ. Mereka tidak pernah diabaikan dan akan mendapat hak sama rata kerana kerajaan BN tidak pernah menganaktirikan sesiapa di mana-mana kawasan.
Sumber: Berita Minggu (5 April 2009)

1 comment:

  1. kita tengok nanti sama ada umno kembali relevant atau tidak di mata rakyat. Kalau kalah di Bkt Gantang lebik baik umno pulangkan semula kerajaan negeri Perak pada PR kerana kerajaan dulu di bawah PR adalah pilihan rakyat. Deal or no deal?

    ReplyDelete