Sunday, April 5, 2009

Sabah derita bawah pembangkang

TAIPING 4 April - Kerajaan negeri Sabah menasihatkan pengundi di Parlimen Bukit Gantang supaya mengembalikan kuasa pemerintahan di kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN) daripada pembangkang. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (gambar) berkata, langkah itu sangat penting bagi memastikan rakyat di kawasan tersebut dapat menikmati agenda pembangunan lebih besar negara.

"Sabah pernah berada di bawah pembangkang selama hampir 10 tahun sekitar 1980-an hingga awal 1990-an dan hasilnya rakyat juga yang rugi kerana negeri ketinggalan dalam banyak hal.
"Selepas diambil alih oleh BN barulah Sabah mengecapi banyak pembangunan dan sebab itu kami tidak mahu penduduk di Perak mengalami nasib serupa," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Perak, Kuala Sepetang dekat sini hari ini.

Musa yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, memandangkan calon BN, Ismail Saffian adalah anak tempatan, maka ia adalah pilihan terbaik kerana lebih memahami masalah rakyat.
Jelas beliau, calon pihak pembangkang pula iaitu Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah orang luar dan mempunyai rekod pemerintahan yang tidak baik.

Katanya, sebelum ini, penduduk Sabah berasa cukup sedih melihat keadaan tidak stabil berlaku di Perak semasa di bawah pemerintahan pakatan pembangkang. "Sekarang kami bersyukur kerana Perak telah kembali dikuasai oleh BN. "Pengundi di Bukit Gantang perlu sedar bahawa pembangkang tidak mampu melaksanakan pembangunan seperti BN," ujarnya.

Katanya, ketika Sabah di bawah pembangkang, golongan bumiputera serta orang Melayu berasa terpinggir dan tertinggal kerana tidak mempunyai kuasa. Justeru, beliau percaya, perkara itu tidak akan berlaku di Perak dan mahu semua rakyat bersatu menyokong BN demi kebaikan bersama.
Sumber: Mingguan Malaysia (5 April 2009)

No comments:

Post a Comment