Monday, April 6, 2009

Dr. M di Bukit Gantang, Bukit Selambau hari ini

TAIPING 5 April - Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah esok, dijangka menyuntik semangat baru kepada jentera kempen Barisan Nasional (BN) di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

Sejak berita kemasukan semula negarawan itu ke dalam UMNO diumumkan, para pengundi sama ada penyokong BN mahupun pembangkang tertunggu-tunggu bilakah bekas Perdana Menteri itu akan turun padang.

"Justeru atas permintaan ramai, Dr. Mahathir akan turun berkempen di Bukit Gantang menerusi perjumpaan besar-besaran dengan rakyat di Jalan Taiping pada pukul 10 pagi esok.
"Ini akan diikuti pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan di Kamal Lodge pada sebelah tengah hari. Selepas itu beliau akan terus ke Bukit Selambau, Kedah," kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersyukur selepas setahun meninggalkan parti, Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akhirnya kembali ke pangkuan UMNO.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa dan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min dekat Simpang, di sini hari ini.

Dalam hal ini, beliau turut menolak tohmahan kononnya Dr. Mahathir akan cuba mempengaruhi pemerintahan negara di bawah kepimpinan baru termasuk menentukan barisan Kabinet Najib.
"Buat apa? Seperti mana ucapan sulung Najib sebagai Perdana Menteri, beliau telah menggariskan sendiri asas-asas pentadbirannya di bawah konsep 'Satu Malaysia'.

"Walaupun Dr. Mahathir memberikan pandangannya, ia sekadar pandangan berguna untuk mengukuhkan parti dan negara. Orang lain pun diajak menyumbang idea," katanya.
Tegas Muhyiddin, setahunya, bekas Perdana Menteri itu tidak mahukan sebarang jawatan dalam kerajaan dan penyertaannya semula ke dalam UMNO adalah bagi membantu menyumbangkan idea untuk memperkukuhkan parti dan negara.

Justeru dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri itu akan mempengaruhi pentadbiran kerajaan di bawah Najib selepas menyertai UMNO adalah dakwaan yang tidak berasas.
"Itu tuduhan pembangkang. Sudah tentu ia disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak seronok dengan peralihan kuasa dan kepimpinan negara (yang berjalan secara teratur)," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (6 April 2009)

No comments:

Post a Comment