Sunday, April 5, 2009

NAJIB DEKATI RAKYAT

Sumber: Berita Harian, 5 April 2009

PM buat lawatan mengejut tinjau masalah penduduk
KUALA LUMPUR: Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa. Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek hijau cair dan seluar khaki coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields. Majoriti penduduk di Jalan Petaling adalah masyarakat Cina, Vista Angkasa pula masyarakat Melayu manakala Brickfields pula masyarakat India. Najib tiba di Jalan Petaling, jam 3.25 petang dan bersalaman serta berbual dengan peniaga di situ yang terdiri daripada masyarakat Cina.
Beliau tidak menghampakan orang ramai untuk bersalaman dengannya termasuk dengan seorang kelindan lori yang menghulurkan tangan ketika sedang memunggah barang di atas sebuah lori. Ada yang bertepuk tangan, ada yang melambai tangan, ada yang mengambil gambar dan ada juga yang menceritakan terus kepada Najib masalah mereka. "Baguslah kalau pemimpin selalu jumpa rakyat," kata peniaga Lim Teck Heng, 47.

Selepas berada 20 minit di situ, Najib terus ke Vista Angkasa dan tiba jam 3.55 petang untuk bertemu penduduk perumahan kos rendah dan sederhana itu. "Saya lakukan lawatan tidak rasmi dan lawatan mengejut. Cuma orang tertentu saja diberitahu. Saya maklumkan kepada Zulhasnan (Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique) saya tak mahu permaidani merah, tak mahu bunga manggar. "Lawatan saya adalah untuk berjumpa rakyat biasa bagi mengetahui masalah mereka," katanya kepada penduduk di situ. Najib berkata, kerajaan sudah meluluskan peruntukan RM6.1 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan kawasan perumahan itu yang terdiri daripada 1,050 unit rumah jenis apartmen dengan 196 unit kos rendah dan bakinya kos sederhana.

Daripada peruntukan itu, RM2.8 juta untuk mengecat bangunan, RM1.3 juta membaiki bumbung, RM1 juta membaiki sistem pelindung kilat, RM600,000 untuk menggantikan lif serta RM400,000 untuk membaiki sistem telekomunikasi. Najib berkata, hak milik strata bagi kawasan perumahan itu akan dikeluarkan selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai yang akan dilakukan dengan segera dan siap beberapa bulan lagi. Beliau percaya langkah itu dapat memberi kelegaan kepada penghuni. "Inilah contoh keprihatinan kerajaan, nak laksanakan apa termampu supaya rakyat dapat pembelaan terbaik. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Malaysia dengan rakyat diutamakan dan pelaksanaan disegerakan," katanya.
Selain berbual dengan penduduk, Najib turut meninjau kawasan perumahan di situ selama kira-kira 20 minit. "Bila pemimpin datang, baru dia tahu masalah kita orang," kata seorang penduduk, Othman Ahmad, 58. Pada jam 4.20 petang, Najib melawat deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan dan bertemu dengan peniaga terdiri daripada masyarakat India serta orang ramai di situ. Beliau sempat singgah makan dan minum di sebuah restoran di situ.
Najib kelihatan makan sedikit putu mayam, tosai beralaskan daun pisang dan minum air teh O ais limau. Perdana Menteri meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 5 petang. "Saya terkejut dia (Najib) datang. Siapa sangka semalam angkat (sumpah), hari ini sudah mari," kata G Subramaniam, 20, seorang penduduk di situ. Peniaga warung R Puvaneswaran, 37, gembira dapat melihat wajah Perdana Menteri dari dekat. "Saya juga gembira, ramai (tahanan) ISA dapat keluar. Ada tiga saudara saya," katanya. Seorang lagi penduduk di situ A Parameswari, 50, berkata pemimpin mesti selalu turun bawah dan menjaga kepentingan semua rakyat. - Bernama
******************************
TULIP:
Pemimpin berjiwa rakyat. Itulah ungkapan yang sesuai untuk Dato' Seri Najib apabila membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara untuk bertemu dan mendengar masalah rakyat. Baru 3 hari menjadi Perdana Malaysia sudah menunjukkan sifatnya yang prihatin dan peka dengan kebajikan rakyat. Rakyat senang dengan sikapnya yang merendah diri, mesra dan mudah didekati. Inilah dia ciri-ciri pemimpin yang unggul. Sejajar dengan slogannya "Satu Malaysia. Rakyat Diutamakan. Pelaksanaan disegerakan."

No comments:

Post a Comment